Masa seperti air, laju dan deras. Pejam celik, pejam celik sehingga satu tahap kita tidak sedar, kita berada di mana. Ke mana masa itu menolak kita, adakah kita berada di tempat yang betul? Adakah apabila kita sedar, tempat ini yang ingin kita tuju? Di sini impian kita? Jika betul, maka cukupkah dengan apa yang kita miliki sekarang? Adakah betul keputusan yang kita lakukan? Ini yang kita mahukan? Atau mungkin kita masih rasa was-was? Keliru? Masih lagi tidak puas hati? Begitu banyak persoalan yang setia menemani manusia dalam menginginkan sebuah kehidupan yang sempurna. Walhal kesempurnaan itu memang tidak akan kita miliki. Kerana semua perkara pasti ada kelemahannya. Pasti ada cacatnya. Namun sudah menjadi lumrah manusia yang selalu menginginkan kesempurnaan dan kebahagiaan dalam segala hal. Cuma nasib yang kita terima berbeza-beza. Kita hanya perlu sedar, bahawa kita sentiasa mempunyai pilihan. Pilihan itu di tangan kita, jangan ragu-ragu dan salah menggunakannya.
'Kita manusia biasa, namun Allah tetap ada'